Oleh: Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto: Mohd. Sahrizal Haji Said
JERUDONG, Jumaat, 4 Julai. - Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH petang tadi mengadakan Majlis Penutup bagi Sidang Kemuncak Rangkaian Penyelidikan Dasar (CPRN) Pusat SEAMEO 2025 yang berlangsung di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Brunei, di sini.
Majlis penutup berkenaan menandakan acara kemuncak dua hari dialog dasar yang bertemakan 'Building Bridges to a Sustainable Future : Inclusive Collaboration and Innovation in Education, Science, and Culture'.
Sidang kemuncak berkenaan menghimpunkan pembuat dasar kanan, penyelidik, dan pemimpin pendidikan dari seluruh Asia Tenggara dan negara-negara rakan kongsi.
Hadir selaku tetamu kehormat, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.
Juga hadir, Pengarah Sekretariat SEAMEO, Datuk Dr. Habibah binti Abdul Rahim; Pengarah Pusat SEAMEO VOCTECH, Awang Haji Norjemee bin Jenek; serta pengarah, timbalan pengarah, dan pegawai kanan dari negara-negara anggota SEAMEO serta institusi rakan kongsi.
Atur cara turut diisikan dengan ucaptama yang disampaikan oleh Felo Penyelidik di Pusat UNEVOC dan Profesor Pelawat di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Dr. Margarita Pavlova yang membentangkan pandangan terbaharu mengenai 'Peralihan Hijau di ASEAN: Menghijaukan TVET sebagai Pemacu Inovasi dan Penglibatan Komuniti'.
Tetamu kehormat juga dijemput untuk menyempurnakan penyampaian sijil kepada penceramah utama sebagai penghargaan atas sumbangan berharga mereka kepada wacana siding kemuncak.
Dalam ucapan sintesis beliau, Pengarah Pusat SEAMEO CECCEP Indonesia, Dr. Vina Adriany meluahkan keyakinan yang tinggi terhadap cadangan dasar yang muncul daripada perbincangan sidang kemuncak berkenaan.
Beliau juga mengumumkan bahawa SEAMEO CECCEP akan menjadi tuan rumah edisi seterusnya Sidang Kemuncak CPRN pada tahun 2026 dan 2027, memastikan kesinambungan dialog serantau yang penting tersebut.
Sidang Kemuncak CPRN 2025 telah mewujudkan rangka kerja yang kukuh untuk kerjasama rentas sektor, melancarkan beberapa inisiatif utama yang akan membentuk pelaksanaan dasar di seluruh Asia Tenggara.
Hasil daripada sidang kemuncak tersebut diharapkan dapat diformalkan menjadi polisi ringkas untuk diedarkan kepada negara-negara anggota SEAMEO, memastikan perbincangan tersebut diterjemahkan ke dalam tindakan nyata.
Kejayaan acara ini mengukuhkan peranan SEAMEO VOCTECH sebagai penyelaras utama dialog dasar dan pemangkin pembangunan lestari di rantau ini.